Рет қаралды 3,487
Saya kemudian ke Majlis Kenduri Rakyat di sebelah Masjid Al-Muttaqin di Taman Meru. Saya tegaskan bahawa Islam menekankan hubungan solat dan zakat, yang menunjukkan bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah tetapi pusat keprihatinan sosial dan keadilan ekonomi.
Al-Quran sentiasa mengaitkan solat dan zakat. Kupasan Sheikh Yusuf al-Qaradawi menjelaskan hubung kait ini mencerminkan peranan zakat sebagai institusi penting dalam sistem ekonomi Islam, terutama dalam membela golongan miskin dan terpinggir.
Dalam sejarah Islam, pertama kali peperangan diisytiharkan bukan kerana tanah, harta, atau kuasa, tetapi bagi memerangi kelompok yang enggan membayar zakat, sekali gus melemahkan sistem sokongan kepada rakyat miskin. Ini menandakan betapa Islam menjulang tinggi kepentingan menegakkan keadilan sosial.
Kerana itu Kerajaan MADANI menjadikan usaha membantu golongan miskin dan yang memerlukan sebagai keutamaan. Kita sanggup membelanjakan RM13 bilion untuk membantu M40 dan B40 menerusi STR dan SARA, bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
Ya, ini bukan penyelesaian mutlak, tetapi langkah penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat tidak diabaikan. Usaha ini akan diteruskan dengan memperkukuh ekonomi, pendidikan serta membentuk rakyat dengan nilai dan akhlak yang mulia.