Рет қаралды 327,405
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik mendapat kad pengenalan pemastautin tetap yang dipanggil sebagai permit masuk telah diberikan oleh Jabatan Imigresen secara teratur mengikut prosedur.
Kata Ahmad Zahid, setakat ini kerajaan mendapati Zakir tidak terlibat dalam aktiviti mempromosi keganasan setelah memantau dan meneliti semua ceramah yang dilakukannya.
"Kad pengenalan pemastautin tetap yang dipanggil sebagai permit masuk telah diberikan kepada Zakir Naik oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan dilakukan secara teratur mengikut prosedur setelah subjek memiliki permit masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.
"Ertinya Jabatan Imigresen memberikan permit masuk dan Jabatan Pendaftaran Negara memberikan kad pengenalan pemastautin tetap.
"Kerajaan sentiasa memantau aktiviti Dr Zakir Naik di mana pun beliau berada dan kita akan mengambil tindakan sekiranya beliau didapati terlibat dengan aktiviti keganasan atau menyalahi undang-undang. Setakat ini, beliau tidak terlibat dalam kedua-dua kategori itu," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan pencelahan daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegeran berkenaan isu kerakyatan Zakir.