Рет қаралды 2,915
BAHAYA MU’TAZILAH
Mu’tazilah merupakan kumpulan yang pernah wujud dalam sejarah Islam seawal kurun kedua hijrah. Para ulama berkhilaf bagaimana asal munculnya nama Mu’tazilah. Terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan, antaranya seperti berikut:
Ketika al-Hasan al-Basri[1] ditanya mengenai kedudukan pelaku dosa besar, adakah ia jatuh kufur? Sedang beliau berfikir untuk menjawabnya, Wasil bin ‘Ata’[2] tiba-tiba menjawab dengan mengatakan pelaku dosa besar itu tidak mukmin secara mutlak, tidak juga kafir secara mutlak. Tetapi ia berada antara dua kedudukan, bukan mukmin dan bukan kafir. Lalu Wasil telah mengasingkan dirinya pada salah satu tiang masjid sambil mempertahankan pendiriannya. Al-Hasan al-Basri kemudian mengatakan Wasil telah mengasingkan diri daripada kita (اعتزل واصل عنا). Turut bersetuju dengan pendapatnya adalah ‘Amru bin ‘Ubayd. Setelah itu pengikut Wasil dan ‘Ubayd dikenali sebagai Mu’tazilah. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/42; Syarh al-Usul al-Khamsah, 138)
Istilah Mu’tazilah pada peringkat awal tidak merujuk kepada mana-mana doktrin. Ia tidak bersifat pujian ataupun celaan. Namun begitu, selepas golongan ini mula mengeluarkan pendapat-pendapat yang berlainan, penamaan ini menjadi lebih bermakna celaan. Lebih-lebih lagi apabila ia terbit daripada seorang imam seperti al-Hasan al-Basri yang memiliki kedudukan sangat tinggi, khususnya dalam kalangan murid-murid beliau dan umumnya dalam kalangan umat Islam. Di samping itu, perkataan seorang tokoh besar kebiasaannya akan menarik perhatian. (Lihat Tarikh al-Firaq al-Islamiyyah, 51)
Berdasarkan latar belakang ringkas yang dikemukakan di atas, ia menjelaskan kepada kita bahawa Mu’tazilah itu merupakan suatu aliran pemikiran yang terbentuk hasil daripada pegangan pengasasnya yang berbeza dengan majoriti umat Islam. Bagi memperincikan lagi pemikiran mereka, dikemukakan di sini beberapa perkara yang wajib diketahui meliputi objektif dan metodologi pemikiran mereka dalam beragama.
Terpengaruh dengan Falsafah Yunani
Mu’tazilah adalah golongan yang terperangkap dengan pemikiran logik dan falsafah Yunani, falsafah India dan falsafah Parsi. Majoriti mereka memiliki dasar pemikiran keparsian. Kesudahannya, mereka cuba mengadaptasikan al-Quran dengan ajaran-ajaran falsafah tersebut. Di samping mereka juga tidak mempercayai hadis-hadis yang didakwa bertentangan dengan logika Paganisme Yunani. (Lihat al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri’ al-Islami, hlm. 7) Menurut Syeikh Muhammad Abu Zahrah, pelbagai faktor yang menyebabkan golongan Mu’tazilah terjerumus ke dalam pengaruh falsafah.
Pertama, menerusi ilmu falsafah, mereka menemui keanjalan dalam penggunaan akal sehingga mampu untuk memperkukuhkan hujah-hujah mereka.
Kedua, ketika golongan falsafah menggempur prinsip-prinsip pemikiran Islam, golongan Mu’tazilah menawarkan kepada mereka perdebatan. Akibatnya, Mu’tazilah terpaksa menggunakan sebahagian metodologi golongan falsafah dalam berdebat dan menyampaikan argumentasi. (Lihat Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, 1/145)
Akal Sebagai Sumber Pengetahuan Mu’tazilah
Secara ringkas, sumber pengetahuan yang dimaksudkan Mu’tazilah adalah proses bagaimana golongan ini mengutamakan akal berbanding nas-nas syarak. Dengan kata lain menjadikan akal sebagai pemutus dan tidak tunduk kepada hukum. Metodologi logik yang digagaskan oleh Mu’tazilah ini terdiri daripada dua objektif:
Pertama: Bertujuan membersihkan akal fikiran daripada sebarang ikatan dan kebiasaan. Dalam konteks ini, memang metode ini berjaya menghapuskan cara berfikir taqlid buta.
Kedua: Menjadikan akal sebagai pemutus segala perkara secara mutlak. Ini kerana, golongan Mu’tazilah amat percaya kepada akal, menempatkannya pada posisi yang amat tinggi sehingga akal menjadi hukum bagi memutuskan segala perkara. Ia ibarat cahaya yang menerangi setiap kegelapan. Lalu akal dipaterikan dengan iman sehingga menjadi rujukan dalam segala aspek kehidupan umum mahupun khusus. (Lihat al-Fikr al-Islami bayn al-Ams wa al-Yawm Mahjub bayn al-Milad, 114)
Walhasil, golongan Mu’tazilah telah meletakkan akal jauh lebih tinggi daripada syariat yang diturunkan Allah SWT itu sendiri. Mereka menjadikan dalil logik lebih utama berbanding dalil syariat. Harus bagi mereka menolak dalil syariat jika didapati ia bertentangan dengan akal manusia meskipun itu merupakan hadith Nabi SAW yang sahih. Ayat-ayat al-Qur’an juga akan ditakwilkan sesuai dengan akal sekalipun ia merupakan nas yang jelas maknanya. Apa yang penting adalah nas-nas syarak tersebut diinterpretasikan relevan dengan prinsip-prinsip pemikiran mereka. (Lihat al-Tafsir wa al-Mufassirun, 1/372-373)
Sumber: www.muftiwp.gov.my/ms/artikel...